Tuesday, October 2, 2018

Sanah Helwa Aina

"Sanah Helwa Aina"

Hari ini usia Aina genap dua tahun. Alhamdulillah, Aina membesar seperti anak normal yang lain. Sungguh, tiada cacat cela yang boleh dilihat dari pandangan mata kasar.

Saya menyantuni temujanji Aina di klinik kesihatan. Saya memang tidak culas dalam temujanji yang diberikan walaupun saya datang sekadar mengambil berat, tinggi dan memberi ubat cacing.

"Aina sudah boleh bercakap ibu?"

"Boleh cakap perkataan apa ibu?" tanya jururawat.

Saya terdiam. Bercakap? Perkataan? Ya Allah, saya baru tersedar yang Aina masih belum bercakap kecuali bahasa-bahasa alien yang saya sendiri sebagai ibu tidak memahami apa yang diucapkan oleh Aina.

"Err... belum nurse, Aina belum boleh bercakap." lurus saya menjawabnya.

"Belum? Anak ada menyebut ibu? ayah? atau minta susu?" 

Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Saya lihat jururawat mengambil pen merah dan menulis sesuatu dalam buku rekod kesihatan anak 0-6 tahun. 

"Kita berjumpa lagi enam bulan lagi ya puan". Saya hanya mengangguk tanda faham dan mengucapkan terima kasih pada jururawat. Terus berlalu keluar dari situ selepas mengambil ubat cacing.

No comments:

Post a Comment