Wednesday, October 3, 2018

Maafkan ibu anak.

"Boleh tak abang, tiada waktu malam?"

Sudah tiga bulan berlalu, emosi saya sebagai seorang ibu semakin menipis. Aina akan mula terbangun lebih kurang jam 11.00 malam dan akan tidur semula pada jam 6.00 pagi.

Sampai satu peringkat, ibu fobia bila melihat jam. Kami mengalami serangan panik bila Aina akan mula tantrum. Mana hendak kami fikirkan jiran yang mahu berehat? Mana kami hendak fikirkan apa yang Aina mahu sebenarnya? Mana yang hendak kami fikirkan tuntutan kerja keesokan harinya.

Sungguh, kami berdua cukup restless

Di kala ibu dan ayah perlu berkejar ke tempat kerja, dan dalam masa yang sama kami bergelut dengan emosi yang tidak berkesudahan. Letih, tidak cukup rehat, pening kepala, darah pun naik.

"Maafkan ibu Aina, ibu tidak tahu"

Bukan tidak mahu meredakan tantrum Aina. Apa yang tidak kami usahakan. Jari menunjuk mahu turun ke bawah, kami turun. Jari menunjuk ke atas, kami naik bawa Aina ke bilik semula.

Mandikan Aina dengan air suam, tukarkan baju dan pampers dengan harapan Aina akan selesa, tepuk dengan lembut, bacakan doa di ubun-ubun kepala, tetapi tantrum Aina masih sama. Leganya sekejap, kemudian akan menyambung semula tangisan.

Sehingga satu peringkat, kami berdua tertidur kepenatan. Bila terbangun, kami lihat Aina masih menangis.

Terhuyung-hayang kami berdua bila di pejabat. Berkejar-kejar dengan rutin membuatkan tiga bulan kami boleh diibaratkan sebagai zombie.

Ketika inilah, emosi saya dan si dia seperti dicabar-cabar.

Kami berdua jadi mudah marah, salah sikit menjadi satu kesalahan besar. Malah ada satu peringkat, kami berdua sudah mengalami depression.

"Jumpa ustaz Ida ambil air penawar" cadang seorang rakan yang cukup bersimpati melihat mata saya yang cukup sembap kerana tidak cukup tidur.

Saya cuma mampu menganggukan kepala tanda sudah membuat apa yang disarankan.

Saya buntu apa yang tidak kena dengan Aina?

Apa yang Aina mahu sebenarnya?

Soalan ini berlegar-legar dalam kepala ibu.

Rupa-rupanya, itu adalah salah satu tanda anak kita mempunyai masalah perkembangan. Maafkan ibu anak, ibu tidak tahu.

No comments:

Post a Comment