Sunday, October 7, 2018

Mereka kelainan, bukan kekurangan.

Mereka kelainan, bukan kekurangan.

Ramai orang salah anggap dengan perumpamaan yang saya berikan. Ya, mereka digelar "cacat". Mereka digelar "orang kurang upaya", tetapi sebenarnya mereka hanya  mempunyai "kelainan" berbanding mereka yang normal.

Percayalah, mereka mempunyai keistimewaan dan limitasi yang kadang-kadang kita sendiri tidak boleh bayangkan jika bakat mereka diasah dengan betul.

Saya teringat ketika saya menunggu nombor giliran naik untuk dipanggil oleh doktor. Ada satu pasangan keluar dari bilik pemeriksaan. Jelas pada riak wajah mereka yang cukup rusuh. Jelas sungguh tekanan yang mereka akan hadapi. 

Kebetulan, mereka duduk di hadapan meja saya sementara menantikan tarikh temujanji mereka yang seterusnya.

Sekadar berbahasa basi menegur mereka dari mana, tiba-tiba "Doktor sudah sahkan anak saya ada ADHD, penyakit apa itu pun saya tak tahu. Habislah masa depan anak saya..." balas si ayah. "Ini pun cikgu yang suruh saya rujuk ke sini. Entahlah..."

"Anak encik berapa tahun?" tanya saya cuba untuk memahami perasaan si ayah. Saya faham kerana ketika ini adalah dalam fasa "penafian".

"Enam tahun... apalah nak jadi... Allah" Ulang si ayah. 

"Encik, anak baru berumur enam tahun. Insya-Allah kita masih ada banyak masa untuk membantu anak." saya cuba memberi kata-kata semangat. 

"Kuatkan semangat encik, anak perlu bantuan kita untuk meneruskan hidup. Di sini ada Pertubuhan GIAT yang membantu anak-anak seperti ini. Kita ibubapa akan cuba sama-sama mencari jalan keluar demi masa depan mereka. Kita tidak keseorangan, percayalah"

Alhamdulillah, si ayah sudah mula tersenyum lega. Sebelum bergerak pulang ke Pontian, berkali-kali si ayah mengucapkan terima kasih pada saya. 

Kadang-kadang, ibubapa hanya perlukan kata-kata semangat. Carilah sokongan untuk menampung kita ketika di dalam saat-saat kita kehilangan arah.

No comments:

Post a Comment