Sunday, October 7, 2018

Anak-anak istimewa ini hanya untuk ibu bapa yang istimewa

Hari ini saya menyatuni Aina untuk membuat Occupational Therapy atau perkataan singkatnya, OT.

Saya duduk berteleku di satu sudut sepanjang masa menemani anak syurga saya, Aina Insyirah membuat OT di bilik terapi.

Memang saya akui, air mata saya tumpah juga. Bila saya lihat Aina berbanding anak-anak syurga yang lain, sungguh saya tidak boleh hendak berkata apa-apa. Lidah saya kelu.

Dalam masa beberapa jam menemani anak disitu, pelbagai ragam anak saya lihat.

Ada anak yang memukul-mukul ibunya, memberontak, menjerit, mana anak yang perlu di usung, mana anak yang perlu diurus 24 jam.

Secara zahirnya, saya tengok mereka (ibubapa) cukup sabar melayan karenah anak syurga mereka. Dalam kolam rasa hati, saya tidak mampu untuk mengungkapnya. Ada beban yang adakalanya kita sendiri tidak mampu hendak kongsikan.

Di satu sudut, ada seorang anak yang memukul-mukul ibunya, ayat yang sering ibu ucapkan, "sakit ibu dik, sakit ibu adik pukul, adik sayang ibu kan?". Itulah ayat yang ibu ulang-ulangkan. Tetapi, anak masih memukul ibu tanpa perasaan.

Ada ibu, walaupun riak wajah anak seolah-olah tiada perasaan, ibu tidak berhenti-henti mencium anaknya. Mereka cukup bangga dengan usaha anak mereka yang berjaya menghabiskan sesi terapi pada hari itu.

Memang kadang-kala kesabaran kita seakan-akan dicabar! Bukan kerenah anak sahaja, malah sikap orang sekeliling, dengan tekanan hidup, dengan tekanan kerja, dengan masa yang seperti tidak cukup 24 jam, dan lain-lain yang boleh mencetuskan kesabaran kita diuji.

Sesungguhnya, betullah kata sahabat manis saya

"Anak-anak istimewa ini hanya untuk ibu bapa yang istimewa!"

Sudahnya, saya terduduk menangis teresak-esak di penjuru dinding! Melepaskan rasa sesak dada!

Rasa bersyukur melihat anak kita seadanya.

No comments:

Post a Comment