"Abang, Ida mengandung"
Ya, seperti mana pasangan yang telah berkahwin, mesti mengimpikan zuriat yang lahir dari rahim seorang wanita yang bergelar isteri. Saya disahkan mengandung anak kedua ketika tahun akhir saya menghabiskan Diploma Ukur Tanah secara separuh masa di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.
Nak kata tidak bersedia, tidak juga kerana kelahiran ini memang dinanti-nanti. Anak sulung pun sudah berumur tiga tahun. Tetapi, saya cuak kerana saya masih belum menghabiskan pembelajaran saya. Sudah terbayang-bayang di kepala jarak perjalanan dari Johor Bahru ke Pahang yang memakan masa sehingga lima jam dan perlu berulang-alik untuk bekerja semula keesokan harinya.
Belum lagi tugasan, kuiz, kerjaluar dan lain-lain. Menyesakkan dada bila difikirkan.
Syukur, sokongan suami yang sentiasa ada menguatkan semangat saya walaupun adakalanya emosi tidak dapat dikawal. Ini kerana pada waktu ini, suami masih bekerja di Muar (perhubungan jarak jauh).
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menghabiskan kertas akhir peperiksaan dalam keadaan perut yang sarat.
Pada malam 13 Februari 2012, suami mengambil alih menjaga ayah mertua yang sedang bertarung dengan penyakit kanser prostat tahap empat di hospital yang sama. Mengenangkan suami jarang dapat menjaga ayahnya, saya bersetuju. Lagipun, saya rasa belum tiba lagi masanya saya melahirkan anak.
Pada pagi 14 Februari 2012, tanda-tanda untuk melahirkan anak sudah ada. Mujur saya tinggal bersama mama di rumah. Sementara menantikan suami balik dari hospital, saya cuba menghabiskan sepinggan nasi goreng untuk mengalas perut.
Syukur alhamdulillah, pada jam 11.00 pagi, saya telah selamat melahirkan anak perempuan secara normal walaupun pada awalnya, doktor tidak menggalakkan (anak yang sulung lahir secara cser kerana hampir lemas). Tetapi, doktor akur dengan keputusan saya.
Sesuai dengan nama yang dipilih dalam perut lagi, "Aina Insyirah" yang membawa maksud "mata yang cantik dan melapangkan", Aina membuka mata kali pertama ketika suami mahu mengimatkannya.
Allahuakbar (Allah Maha Besar).
... bersambung
No comments:
Post a Comment