Friday, October 12, 2018

Ulasan ebook Nota Buat Emak

Siapalah kita tanpa insan yang bergelar "emak" bukan.

"Orang yang paling bahagia dalam hidupnya adalah orang yang tidak selalu memiliki sesuatu yang terbaik dalam kehidupannya, tapi hanya selalu berusaha untuk bersyukur dan menjadikan setiap apa pun yang hadir dalam hidupnya menjadi yang terbaik. kebahagiaan yang sempurna terdapat pada seseorang yang sederhana tetapi dia memperlakukannya dengan istimewa.. ibarat kata orang "tak perlu miliki segalanya untuk bahagia, cukup jadikan apa yang sudah kau miliki saat ini sebagai alasan untuk berbahagia"

Emak adalah guru pertama kehidupan untuk seorang anak.

Semua orang ada kenangan bersama emak.

Dalam ebook ini, penulis berkongsi pengalaman suka duka beliau bersama emak yang tersayang. Emosi yang ditulis dalam buku ini jelas betapa besarnya kasih sayang seorang anak kepada emaknya.Seluas lautan yang tiada berpenghujungnya.

Penulis juga menyelitkan pesanan-pesanan seorang emak kepada anaknya. Sedikit sebanyak kita seperti "terkait" dengan pengalaman penulis. Ya, ketika saya membaca ebook ini, saya terkenang pada emak! Sungguh, rindu terus pada emak.

Ulasan eBook Motivasi Al Quran

Ulasan eBook Motivasi Al Quran

"Iqra, untuk hati kita, perbuatan kita"

Sejujurnya, ketika saya membaca ebook ini ia memberi kesan yang cukup peribadi untuk saya. Cintailah dan bacalah Al Quran kerana kitab suci itu ada pengajaran dan panduan untuk kita dalam kehidupan kita.

Bila kita diuji, carilah Al Quran.
Bila kita keliru dalam memilih yang mana satu, carilah Al Quran.
Bila kita rasa diri kita tiada apa-apa, carilah Al Quran

Al Quran jangan ditinggalkan. Bacalah walaupun satu huruf.

Ebook ini juga berkongsi bila kita faham Al Quran, kita akan faham maksud "pesan pada kebaikan". Usaha mereka dalam berdakwah dan memahami Al Quran dipandang mulia oleh Allah swt.

Penulisan berunsurkan motivasi. Insya-Allah, jika kita rasa down, bacalah ebook ini untuk kita kumpulkan semula semangat kita.

Insya-Allah.

Tinta Pengarang

Assalammualaikum wbt.

Alhamdulillah, dengan rasa penuh kesyukuran dan limpahan rahmat dari Allah swt, saya dapat berkongsi pengalaman membesarkan anak istimewa saya yang mengalami masalah pembelajaran iaitu ADHD.

Dengan penuh rasa terima kasih saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad yang memberi peluang saya untuk menulis. Galakan dan sokongan yang diberikan pada saya amat saya hargai.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada suami yang paling dihormati, Encik Mohammad Syamsul Kamisan, anak-anak saya Aisyah Insyirah, Aina Insyirah, Mohammad Ammar dan Adilah Insyirah yang merupakan sumber kekuatan ibu. Tidak lupa kepada kedua-dua ibubapa saya, Encik Mudzakir Mohd Azib dan Saleha binti Meoun. Kepada arwah kedua-dua ibubapa mertua, saya mohon sahabat yang membaca ebook saya ini sedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham Kamisan bin Sarpan dan Allahyarhamah Jamilah binti Yahya.

Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat saya seperti Teacher Roziah Salim dan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan ebook ini, sekalung ucapan terima kasih untuk anda.

Semoga ebook ini dapat memberi inspirasi dan pengalaman kepada kita dalam membesarkan anak-anak syurga kita.

Insya-Allah.

Salam sayang
Ida Kamilia Mudzakir

Thursday, October 11, 2018

Amaran

  1. Ebook ini adalah hak cipta terpelihara Ida Kamilia Mudzakir.
  2. Anda dilarang sama sekali sama ada mengubah, mengedarkan atau menjual Ebook ini kepada pihak lain.
  3. Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  4. Oleh itu hendaklah melaporkan kepada pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa melalui Ida Kamilia Mudzakir atau mana-mana pengedar online yang sah.
  5. Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan-kegiatan sebegini.
  6. Bagi kalian yang mahu serta mengedar ebook ini boleh mendaftar dengan Ida Kamilia Mudzakir.

Ulasan ebook Asas Bisnes Tudung

Ulasan buku Asas Bisnes Tudung

Buku ini menyentuh tentang pengalaman dalam memulakan bisnes tudung secara kecil-kecilan.

Seringkali kita disogokkan supaya memulakan bisnes dengan membuat pinjaman bank, tetapi dalam buku ini mulakan dulu dengan apa yang ada ditangan.

Berkali-kali gagal tidak mematahkan usaha penulis berjuang dalam berniaga. Apa yang saya belajar dalam buku ini, tiada nilai sentimental dalam bisnes. Selain itu, penulis juga berkongsi teknik pemasaran terkini dengan medium pemasaran online selain daripada kedai fizikal itu sendiri supaya bisnes tudung kekal relevan kerana trend tudung ini terlalu cepat berubah.




Ulasan ebook Mula Bisnes Dengan Spa

Mahu mulakan bisnes spa tanpa modal yang banyak.

eBook Mula Bisnes Dengan Spa adalah satu ebook yang perlu ada bagi mereka yang berminat dalam bisnes kecantikan.

Lengkap dalam satu buku dengan perkongsian langkah-langkah yang perlu dibuat seperti:-
  • Memilih skincare dengan betul.
  • Jenis rawatan yang sesuai dibuat di rumah.
  • Bagaimana memilih pakej spa.
  • Teknik pemasaran yang sesuai
  • Sumber pendapatan lain yang boleh dijana dengan spa.
Bagi mereka yang tercari-cari bisnes sampingan berasaskan kecantikan, saya sarankan anda membaca ebook ini sebagai panduan dan perkongsian.

Ulasan eBook Bangkit Selepas Bercerai

Ulasan eBook Bangkit Selepas Bercerai

"Perempuan yang malang ialah perempuan yang tersalah memilih suami"

Bangkit selepas bercerai merupakan satu kisah kebangkitan seorang wanita selepas ditinggalkan suami.  Ramai wanita takut diceraikan kerana ia taboo dalam masyarakat yang beranggapan wanita juga yang akan dipersalahkan lantaran sesuatu penceraian itu terjadi. Banyak wanita yang akan terkorban kerana terlalu mengejar cinta sedangkan wanita itu tahu kebahagiaan itu bukan milik mereka.

Ini kerana apa juga keputusan yang diambil oleh seorang wanita ibarat kita memotong sebelah kaki dan sebelah tangan. Sakitnya, malunya, penatnya, pilunya, sedihnya, hampanya, kecewanya sama aseperti kita kehilangan sebelah kaki dan sebelah tangan.

Perkahwinan itu sendiri satu "perjudian". Mengharapkan kebahagiaan sehingga ke syurga tetapi ombak badai melanda. Letakkan perancangan dan takdir Allah dalam hidup wanita yang telah bercerai.

Bangkit selepas bercerai juga berkongsi tentang pilihan yang ada dalam hidup selepas bercerai. Bercerai bukan pengakhiran segala-galanya. Buku ini juga berkongsi tips melupakan seseorang yang kita cintai dalam tempoh yang singkat. Berikan masa untuk diri sendiri untuk menjadi wanita yang lebih berani dalam membuat keputusan untuk diri sendiri.

Selain itu, ia turut berkongsi bagaimana hak kita dengan undang-undang Islam. Wanita yang diceraikan ada hak untuk bahagia dengan sokongan yang berterusan dari orang sekeliling.


Wednesday, October 10, 2018

Tidak memahami

Aina kurang memahami arahan secara lisan.

Adilah menangis diluar...

"Aina, tengok Adilah... kenapa dia menangis..."

Laju Aina berlari keluar kemudian terhenti di depan Adilah sambil "tengok" Adilah...

"Kenapa Aina, Adilah menangis?"

Dua tiga kali Aina menoleh pada ibu seolah-olah hendak berkata, "La... ibu ni... tadi kata suruh "tengok" Adilah..."

Haiisshhh... bertuah la hai..

Sudahnya, ibu juga kena berlari keluar tengok kenapa Adilah menangis bersama-sama Aina...

Aina... Aina...

Mula bersekolah

Semalam Aisyah bersekolah,

Hari ini giliran Ammar dan Aina mulakan persekolahan. Hari pertama menghantar anak-anak ini cukup berbeza. Bercampur baur seribu perasaan.

"Abang tidak boleh tidur malam tadi mengenangkan anak-anak akan bersekolah. Boleh ke anak-anak menyesuaikan diri dengan kawan-kawan. Minum makannya."

Saya pegang erat tangan si dia untuk memberi keyakinan yang anak kita boleh buat.

Pagi ini di dalam kereta, si dia cuba tukarkan baju Ammar ketika Ammar masih tidur. Bila tersedar baju warna lain, mulalah Ammar meronta-ronta minta ditukarkan baju.

"Ammar, Aina school... Adilah tak school" Itulah ayat yang diulang-ulang oleh Aina.

"Ammar, school..."

"Ammar, school cannttiikkk..."

"Ammar, sini... sini..."

Nampaknya, emosi Ammar agak bertenang bila Aina memainkan peranan sebagai seorang kakak. Ya, Aina sudah besar.

"Teacher call ya kalau ada apa-apa, kami sentiasa ada disini." Pesan si dia. Bukan mudah untuk melepaskan, tetapi kami tiada pilihan.

Good luck Aina dan Ammar. Ibu doakan sentiasa keselamatan anak-anak ibu.

Skrip Aina

Skrip Aina

"Ammar, lambat cepat!"

Tiba-tiba, Ammar dari luar masuk ke dalam dengan berlari laju pada kakaknya...

Si dia dan saya sudah tergelak. Memang Ammar lebih memahami kata-kata Aina.

Sepatutnya, "Ammar, cepat!"

Tetapi, keyakinan Aina untuk mula menyusun bait-bait patah perkataan cukup menggembirakan hati kami berdua.

Fishfrog

Aina banyak melukis untuk mengekspresikan perasaan dan emosi. Lebih mudah berkomunikasi mungkin pada dia dengan kami.

Hakikatnya, tidak mudah.

Aina: Ibu, tenok (tengok) ni...
Ibu: (merenung jauh lukisan anak), Aina lukis apa?
Aina: "fishfrog!"
Ibu: Ikan katak? Ikan belacak?
Aina: (Aina pula merenung jauh muka ibu!)


Bird work

Selalunya, bila Aina bertanya tentang ayah bila tidak berada di depan mata, saya akan menjawab "Ayah Work".

Hari ini..

Aina: Ayah, bird mana?
Ayah: Bird takde... (sudah terbang lepaskan diri sebenarnya!)
Aina: Ooo.. bird work!

Tersengih-sengih saya menahan gelak. Allah, anak syurga saya seorang ni... ada sahaja gelagat yang mencuit hati!

Seperti badut

Semalam punya cerita,

Anak syurga saya Aina.

Sampai ke rumah manis pukul 10 malam. Singgah ke rumah Mak Ngah kerana ada urusan keluarga.

Sampai rumah... buka pintu si dia (tidak tahu hendak menggambarkan riak muka), bila hendak mendukung si Aina masuk ke rumah. Si dia mengucap panjang. Nampak pucat saya melihatnya.

"Kenapa abang?"

Aina baru selesai gunting rambutnya sendiri! Allahuakbar, mujur tiada yang luka. Saya tengok pun perasaan bercampur baur. Nak marah atau nak tergelak. (Ketika inilah saya terasa seperti ada kecelaruan perasaan).

Botak di tengah-tengah. Macam rambut badut! Dengan kedua-dua sisi rambutnya yang kerinting! Urut kepala saya dibuatnya. Darah memang terus terasa naik ke kepala!

Si dia membelek Aina entah berapa kali untuk memastikan kepala anak tidak ada yang terluka. Mujur la hai...

Pagi ini bila saya terpandangkan Aina, saya zipkan mulut! Pengasuh tengok pun memang terkedu!

Pagi-pagi ini juga saya sudah mengingatkan si dia, hantar Aina ke salon. Malam tadi saya hubungi salon rambut untuk temujanji bagi "betulkan" style rambut Aina. Allah Allah Allah... memang lepas ini tiada lagi rambut kerinting si Aina!

Seperti biasa,

Peringatan berulang-ulang kali untuk Aisyah! Simpan gunting di tempat yang LAGI SELAMAT!

Ok. Saya nak sambung gelak!

Tuesday, October 9, 2018

Hospital Permai bukan untuk orang gila

Ada segelintir memandang serong bila mendengar nama "Hospital Permai".

"Eh, bukan itu hospital orang gila ke?"

Allah.

Hospital Permai bukan untuk orang gila. Tetapi lebih kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Fasiliti disini cukup selesa dan lengkap untuk diagnos pesakit. 


Tiada istilah terlambat

Tiada istilah terlambat.

Ada ibubapa yang tidak faham kelainan pada anak. Ada juga ibubapa lewat mengetahui masalah yang ada pada anak.

Selalunya, ibubapa mengetahui ketika anak mahu masuk ke sekolah atau sudah bersekolah rendah.

Paling banyak yang ibubapa bimbangkan adalah "anak saya masih belum bercakap atau belum pandai membaca".

Ketika ini, ibubapa akan mengalami serangan panik lebih-lebih lagi jika ibubapa memilih tadika atau sekolah yang berorientasikan peperiksaan sebelum dapat masuk ke sekolah.

Walaupun agak lewat untuk perkembangan anak, tidak mengapa. Jangan mengalah.

Tiada istilah terlewat.

Berbincanglah dengan doktor dan buatlah program intervensi untuk anak.

Lapangkan dada ibu, hantar anak-anak kita ke sekolah atau taska bukan untuk menjadikan anak kita seperti Neil Amstrong, tetapi untuk anak kita mengasah kemahiran seperti sosial, komunikasi dan juga keyakinan diri anak.

Anak mudah terikut-ikut

Semalam,

Doktor ada menyentuh tentang "bahasa kartun".

"Adakah Aina ada kartun kegemaran?"

Err... Rasanya Aina meminati "Pocoyo" atau "Robocar Poli". Tak pun "Johny, johny... yes papa".

Saya terus membayangkan karakter budak berbaju biru yang sangat comel. Jatuh cinta betul saya dibuatnya.

"Ooohhh.. kartun tu takpe. Lain?"

Saya terus menggelengkankepala. "Kenapa doktor?"

"Kadang-kadang kita kena alert cara mengapa anak kita lambat bercakap. Adakah dia bercakap seperti kartun yang selalu dia tengok. Jadi, ibu bapa kena tahu memilih kartun yang sesuai mengikut umur anak kerana ketika ini anak akan mudah terikut-ikut".

Terus saya teringatkan "Pingu"!

Mujur anak-anak memang tidak meminati karakter kartun seperti itu.

Pemulihan carakerja

Selepas Aina disahkan mempunyai isu ADHD, salah satu terapi yang perlu dilakukan oleh Aina ialah pemulihan carakerja atau lebih dikenali dengan Occupational Therapy. Ramai ibubapa keliru dengan fisioterapi.

Kebanyakan mereka akan menggunakan singkatan perkataan OT atau OCCT.

Pemulihan carakerja ini berfungsi sebagai mengembalikan kebolehan/tahap kefungsian seseorang untuk melaksanakan aktiviti seharian pada tahap optimum yang mampu dicapai.

"Simptom ADHD tidak boleh disembuhkan, tetapi dengan melalui kaedah intervensi seperti terapi carakerja, terapi pertuturan dan menganalisis sikap dapat membantu kemahiran mereka"

Oleh yang demikian, ibu yang ada anak-anak istimewa, sangat digalakkan menghantar anak untuk melihat bagaimana therapist melakukan pemilihan carakerja.

Kemudian, terapi ini bersambung dirumah untuk memastikan perkembangan anak berlaku dengan lebih baik.

Semua sedia maklum, jika ibubapa mengharapkan temujanji sebulan sekali di hospital, amatlah tidak membantu anak-anak.

Sebagai contoh aktiviti pemulihan carakerja, Aina akan ditunjukkan bagaimana memegang pensil dengan betul menggunakan alat bantuan khas.

Selain itu, Aina juga diajar menyusun lego, berbuai, menggelosor, membaling bola dan lain-lain. Matlamat utamanya adalah bagi mengasah fokus Aina ketika mendengar arahan dari therapist.

Sekurang-kurangnya perkembangan yang ditunjukkan Aina dapat membantu Aina melakukan aktiviti harian dengan baik.

Monday, October 8, 2018

Pilihlah untuk diam

Pilihlah untuk diam jika kata-kata kita boleh menyakitkan hati orang lain.

Kadang-kadang timbul rasa terkilan di hati. Bukan tidak cuba memahami sisi orang lain yang ingin memahami situasi kita tetapi kebanyakan mereka memilih untuk berkata-kata dengan menggunakan perkataan yang menyakitkan hati.

Sepatah perkataan yang keluar dari mulut bukan mudah untuk dipadamkan. Tergiang-ngiang di telinga.

Mereka akan lupa apa yang diucapkan.

Saya pernah terkena dengan persoalan yang cukup menyakitkan hati. Sebal sungguh rasa hati.

Bukan tidak mahu terima kata-kata itu, puas saya didik hati untuk terima. Tajamnya kata-kata itu seperti sebilah pedang menghiris hati saya. Kutuklah saya, hinalah saya. Saya masih boleh terima. Tetapi bila ia menyentuh tentang anak kita, pilunya sehingga dilubuk paling dalam.

Alhamdulillah, masa mengubati kesakitan.

Maafkan boleh tetapi bukan melupakan.

Kita hanya berdoa semoga Allah tidak membalikkan kata-kata itu pada diri mereka pula. Bukan mahu doakan yang tidak baik, saya cuma memegang satu perkara. Dunia itu berputar.

Biarlah Allah yang membalas sebaik-baiknya.

Pesanan saya, pilihlah untuk diam. Itu lebih baik.

Sokongan itu penting

Dalam hidup, kita tidak mampu hidup keseorangan. Sokongan itu ibarat kitaran hidup yang penting untuk melengkapkan kehidupan kita.

Adakalanya kita kalah.

Kalah dengan perasaan kita sendiri.
Kalah dengan tekanan hidup.
Kalah dengan faktor orang sekeliling.
Kalah dengan diri kita sendiri.

Kita lelah. Seolah-olah kita sudah tidak mampu menanggung beban perasaan yang tidak kesudahan.

Walaupun kita ada Allah, kita juga memerlukan sokongan yang positif dalam menghadapi apa jua cabaran.

Walaupun sekadar menjadi pendengar.

Mengapa kita memilih untuk berkurung meratap nasib kerana mempunyai anak istimewa.

... sedangkan terlalu banyak jalan keluar yang terbentang luas di depan mata.

Keluar dari kepompong. Lapangkan dada dan fikiran kita demi masa depan anak kita. Tambahkanlah ilmu.

Banyak saya lihat, ibubapa menyorok anak mereka dengan alasan anak cacat.

Ada anak istimewa, tidak bermaksud kehidupan kita kelam.

Sunday, October 7, 2018

Terapi berkuda untuk Aina

Alhamdulillah, saya berpeluang menyantuni Program Hipoterapi atau Terapi Berkuda (Riding for Disable) di UTM Equine Park.

Terima kasih atas peluang yang diberikan oleh sahabat saya. Sejujurnya, saya sangat menghargainya. Ini kerana tidak semua tempat ada terapi berkuda ini kerana kosnya yang mahal. 
 
Sebelum itu, saya terangkan serba sedikit tentang apa itu Hipoterapi.
Hipoterapi atau Terapi Berkuda merupakan salah satu intervensi yang menggunakan kuda. Aktiviti terapi berkuda ini dijalankan bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai limitasi seperti:-
  • Autisme
  • Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
  • Cerebral Palsy
  • Down Syndrome
  • Mental Retardation
Dalam menjalankan aktiviti ini, jurulatih dalam terapi kuda diperlukan bagi mengetuai dan mengelola aktiviti agar aktiviti yang dijalankan menepati tahap yang diperlukan di dalam sesebuah aktiviti terapi berkuda.

Objektif hipoterapi:-
  • Meningkatkan kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, kemahiran kognitif, kemahiran postur tubuh dan keseimbangan dan juga untuk meningkatkan kemahiran intergrasi sensori.
  • Meningkatkan kemahiran mengikut arahan.
  • Meningkatkan interaksi sosial di kalangan kanak-kanak dan orang yang baru dikenali.
  • Mendedahkan kanak-kanak kepada persekitaran luar daripada yang biasa seperti rumah dan sekolah.
  • Membantu kanak-kanak mencapai kualiti kehidupan yang diinginkan.
  • Dalam aktiviti hipoterapi, kanak-kanak berdikari di dalam gelanggang tanpa bantuan ibubapa.
Pertama kali Aina melalui terapi ini, sangatlah mudah. 

Saya tidak menyangka sebenarnya Aina diberi peluang untuk menaiki kuda. Asalnya terapi ini adalah untuk adiknya, Ammar.

Tetapi, Aina cukup berani meminta keizinan dari Sir Muthu untuk mencuba. Jatuh rahang saya dibuatnya melihat keberanian Aina. 

Sehingga sekarang, Aina masih berpeluang untuk mengikut terapi berkuda yang dianjurkan oleh Riding for Disable Association" cawangan Universiti Teknologi Malaysia.


Fasa menolak kenyataan

Fasa menolak kenyataan

Ketika doktor mengesahkan anak saya mempunyai masalah ADHD, kita akan mengalami fasa denied atau dengan erti kata lain, fasa menolak kenyataan.

"Kenapa anak aku yang Allah pilih?"

"Apa salah aku sehingga Allah hendak hukum sebegini?"

Pelbagai soalan demi soalan menghentam fikiran.

Allahuakbar.

Mujur saya cepat-cepat beristighfar. Meneleku saya disudut dinding melepaskan apa yang terbuku dihati.

... dan saya suka menulis. Menulis merupakan terapi buat saya. Melepaskan sesak dihati.

Setelah keadaan reda, saya belajar untuk menerima. Menerima bukan beerti mengalah atau pasrah kerana saya tahu Allah tidak akan menguji hamba-NYA lebih dari kemampuan hamba-NYA.

Didik diri untuk menerima ketentuan yang Allah telah aturkan untuk saya.

Saya ambil buku dan terus menyusun jadual saya supaya saya tidak terlepas dengan apa-apa terapi yang dicadangkan oleh doktor. Mana-mana yang tidak mempunyai kepentingan buat masa itu saya gugurkan dahulu.

Kemudian, saya akan berjumpa dengan pihak hospital untuk berbincang jika ada mana-mana persatuan yang boleh kita masuk. Ibubapa yang mempunyai anak ADHD akan sama-sama membantu kita dalam memberi idea apa-apa jenis terapi yang boleh anak lakukan.

Malah, support group juga penting pada ibubapa. Berkongsi masalah atau cabaran yang dihadapi.

Kita akan mempunyai fasa dan masalah yang timbul adalah berbeza.

Kita tidak keseorangan sebenarnya. Percayalah.

Apa kata kita mencuba dulu?

Tadika kelapan, saya masih cuba gagahkan diri untuk ke tadika ini. Apa juga halangannya yang timbul, saya akan pastikan Aina dapat ke sekolah.

Mengapa saya "memilih" tadika. Saya bekerja di Bandaraya Johor Bahru. Hampir mustahil untuk saya berkejar di Skudai jika ada sesuatu terjadi pada anak. Nekad saya dengan si dia, pilihan tempat biarlah di bandar.

Setelah bertanya di sana sini beberapa kali, akhirnya saya mendapat nombor telefon tadika ini dari sahabat manis.

Lama saya berdiri di pintu masuk ke tadika. Mengumpul kekuatan semula untuk direject lagi. Huhuhu

Selepas kami berbincang dengan pemilik hati tadika, hati ini cukup berdebar-debar menunggu keputusan adakah Aina diterima masuk. Saya perlu jujur memaklumkan kondisi Aina yang mempunyai kelainan berbanding anak-anak normal.

Dan ya,

Saya masih ingat lagi bila teacher ini mengungkapkan kata-kata, "Apa kata kita cuba dulu puan dalam seminggu. Kalau kita rasa tidak sesuai, boleh kita bincang semula?"

Allahu, boleh bayangkan di saat saya rasa ingin "jatuh", ada tangan yang menyambut saya dari jatuh tersungkur? Hiba sungguh hati ini bila melihatkan Aina. Ibu akan memperjuangkan Aina dalam apa jua keadaan pun.

Tempoh seminggu yang diberikan oleh cikgu itu pun sudah satu bentuk kesyukuran.

Sekurang-kurangnya, Aina diberi peluang seminggu untuk mencuba dan memberi pengalaman yang cukup berharga.

Ya, sebak bila mengenangkan "perjalanan" Aina yang penuh liku.

Terima kasih teacher Roziah Salim. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.

Walaupun kita merangkak, jangan berhenti teruskan langkah

Ya Allah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Setahun ibu tunggu Aina dapat membaca.

Setiap kali di dalam group whatsapp, guru akan berkongsi kegembiraan pada ibu anaknya sudah boleh membaca dengan baik. Setiap kali ucapan tahniah, saya menanti dengan penuh sabar adakah itu nama Aina Insyirah

... akhirnya selepas setahun...

Syukur Ya Allah. Hari ini harilah yang saya dan si dia nanti-nantikan.

Tahniah Aina.

Jangan lupa pesan ibu ya anak, walaupun kita merangkak, jangan berhenti untuk teruskan langkah.

Aktiviti yang sesuai untuk anak ADHD

Ada yang bertanyakan pada Kak Ida, apa aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk ADHD.

ADHD = high energy.

Ya Allah, mereka mempunyai tenaga yang cukup luar biasa. Tidak mampu duduk diam dalam jangka masa yang lama.

Kalau kita yang normal sudah diibaratkan "lampu merah di dada ultraman pun sudah menyala". Tetapi, mereka kekal aktif!

Selalunya, untuk mengurangkan tenaga mereka, kami sekeluarga akan mengajak Aina berenang. Berenang memerlukan pergerakan yang berterusan dan disiplin yang baik untuk mereka.

Lepas berenang... mereka akan 'lebih tenang' kerana tenaga sudah banyak dihabiskan.

Cubalah!

Janganlah kita kesal dalam kerinduan

Dahulu...

Saya pernah berbincang dengan si dia yang saya ingin membuang kerusi panjang ini.

Sakit betul mata memandangnya. Saya malu bila orang datang, bila hendak duduk terpaksa duduk di kerusi lain bila melihat kerusi itu sudah rosak.

Berlekuk di tengah lantaran Aina suka membuat lompatan trampolin disitu.

Kerusi itu pun sebenarnya tidak boleh dikongsi. Hanya Aina sahaja yang boleh duduk atau berbaring.

Semalam,

Bila saya melihat kerusi panjang itu kosong bila Aina ditahan wad kerana demam panas, membuatkan saya 'sebak'.

Hari ini,

Bila saya tengok Aina duduk dikerusi panjang itu balik...

Saya bersyukur!

Apalah sangat harga malu saya yang saya perlu bayar untuk dua tiga minit pada tetamu yang hadir berbanding melihat kebahagiaan Aina yang dapat duduk dikerusi itu?

Betul kata orang, ada perkara atau benda yang mengingatkan kita pada sesuatu.

Sekurang-kurangnya kita belum terlewat untuk menikmati bersama kebahagiaan itu.

Kalau yang terlewat...

Janganlah kita kesal dalam kerinduan.

Senang pada pandangan mata kita sahaja

Pertama kali saya mengikut Aina ke OT (occupational therapy),

Sejujurnya, pada awalnya saya rasa "takkan itupun susah sangat Aina? Baling dan masukkan ke dalam bekas. Dengar arahan Aina.... dengar!"

Bila saya kenang semula, perasaan bersalah sampai sekarang saya dapat rasakan. Ibu yang cukup "pentingkan diri sendiri" tanpa memahami sisi anak.

Nampak senangnya pada pandangan mata kita. Mata kita.

Struggle pada anak. Susahnya pada anak.

Rasa seperti ditampar-tampar bila "Mak, cuba masuk ke dunia anak mak... kita nampak roda itu berpusing, bagi mereka (anak istimewa) nampak seperti roda dalam gerakan perlahan."

Boleh faham maksud terapi?

Allahu, maafkan ibu anak. Maafkan ibu.

Homeschool untuk anak istimewa

Entah mengapa, sekarang saya banyak terjebak dengan aktiviti homeschool. Kesempatan masa yang ada, saya cuba untuk luangkan masa menuntut ilmu dan belajar.

... kerana saya tahu, ilmu Allah itu sangatlah luas untuk dipelajari.

Petang ini saya cuba kongsikan sesi perkongsian homeschooling bersama Kak Nik.

Bukan bermakna saya "menentang" sistem pendidikan di Malaysia. Cuma, homeshool merupakan salah satu pilihan terbaik untuk anak-anak saya terutama untuk Aina dan Ammar jika mereka tamat di PDK dan bukan di arus perdana.

... dan perkongsian ini juga membuka mata saya dimana ramai dikalangan anak-anak istimewa ini tercicir bila mana, mereka tidak tahu dimana "arah tuju" mereka jika bersama anak yang normal.

Alhamdulillah, perkongsian ini sungguh bermanfaat.
  • Utamakan pemilihan tadika yang mengutamakan belajar sambil bermain. Bukan ke tadika yang memerlukan "temuduga" atau peperiksaan sebelum menilai anak kita layak masuk atau sebaliknya.
  • Ibubapa perlu mengutamakan kemahiran 3M. Membaca, menulis, mengira dan Sains serta Agama.
  • Cungkil kemahiran anak. Ya, KEMAHIRAN. Bukan bidang akademik semata-mata.
  • Jangan memaksa anak. Berikan masa dan sokongan padu pada mereka dalam apa jua bidang yang diminati.
  • Hati ibu kena kental dan kuat jika mahu homeschool. Abaikan kata-kata negatif orang lain. Fokus pada matlamat yang telah dirancang untuk anak istimewa kita.
  • Homeschool bukan bermakna ibu yang mengajar anak sepenuhnya. Serahkan pada yang pakar dan semestinya, ibu perlu menyediakan kos.

Kebarangkalian itu ada

Hari ini Aina menyantuni doktor di Hospital Permai.

Ya, sebenarnya Kak Ida mengharapkan "keajaiban". Jauh... jauh... disudut hati Kak Ida doktor akan berikan jawapan,

"... sebenarnya anak puan normal..."

Hakikatnya,

Jawapan yang saya terima adalah sama seperti assessment yang telah dilakukan oleh doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah.

Malah, lebih jelas ke"ADHD" Aina.

Doktor mengingatkan untuk memantau pula perkembangan pada Adilah. Ini kerana bila Aina sudah mempunyai ADHD (kebarangkalian adalah 10%), Ammar (kebarangkalian adalah 30%) dan Adilah (kebarangkalian adalah 40%).

Saya terus terdiam.

"Puan bertuah dapat detect anak puan secepat ini. Banyak perancangan yang kita boleh lakukan.... Boleh saya tahu apa perancangan puan untuk Ammar?"

Terkedu sekejap sebenarnya.

"Tahun depan Aina akan mula bersekolah doktor..."

Doktor menyambung,

"Saya harap puan faham, ADHD berkait rapat dengan Masalah Pembelajaran. Jadi, buat masa ini puan perlu mementingkan sosial dan behaviour Aina dahulu... Saya berikan satu surat untuk cikgu pula."

Lesu sahaja anggukan saya.

Sensori anak

Bagi yang ada anak istimewa, bila mana anak dapat mewarna setiap satu ruang walaupun kecil cukup memberi impak yang besar pada diri saya.

Dulu Aina akan mewarna satu tempat sahaja berulang-ulang kali (adakalanya kertas sampai terkoyak) walaupun masih banyak lagi bahagian yang belum diwarnakan.

Jadi, saya terpaksa menolak tangan Aina dari satu tempat ke satu tempat supaya Aina mewarnakan ruang tersebut.

... memang tidak pernah habis (tiada fokus).

Bertabahlah ibu, bukan mudah untuk melatih sensori anak.

Anak tantrum, apa boleh buat?

Dulu saya sering menurutkan sahaja kemahuan Aina. Malas nak mengadap amukan si anak.

Rupa-rupanya saya silap setelah saya ke kelas bagaimana hendak menguruskan anak tantrum.

Anak-akan akan cuba memanipulasi keadaan itu.

"Kalau aku mengamuk, ibu mesti akan beri."

Jadi, pendekatan saya sekarang. Nak mengamuk... mengamuklah.

Saya akan biarkan sahaja.

Pada awalnya memang sukar.

Orang akan kata "ibu hati kering..." Ya, orang luar akan beranggapan begitu. Hakikatnya, hati ibu akan "pecah" sebenarnya.

Bila seorang kata TIDAK BOLEH, pasangan juga mesti bertegas.

MESTI.

Mengamuk adalah salah satu cara untuk melepaskan emosi mereka.

Setelah reda, saya akan cuba pujuk. Ketika inilah saya akan gunakan "kelemahan" anak.

Sebagai contoh, Aina cukup suka dengan bunga. Bunga boleh melekakan dan boleh melupakan apa yang Aina mahukan.

Jika tantrum masih tidak reda atau ibu ada nampak tanda-tanda anak mencederakan diri sendiri seperti menghantuk kepala ke dinding, menggaru-garu kulit sehingga berdarah atau melukakan diri sendiri, ibu boleh gunakan pendekatan menggulung anak di dalam tilam lembut. Ini cukup bagus.

Secara tidak langsung, emosi ibu dan anak tidak tercedera.

Langkah awal penting

Sebenarnya,

Kak Ida dapat detect kelainan Aina bila Aina berusia 2 tahun lebih.

Kebanyakan nasihat yang Kak Ida dapat adalah "jangan banding-bandingkan" anak kerana anak kita dilahirkan berbeza.

Ya betul, kenyataan itu saya setuju.

Tetapi, maksud saya "bandingkan anak" disini adalah bandingkan perkembangan anak kita dengan anak yang sama umur (sebaya). Bukan bandingkan anak pertama dengan kedua atau ketiga dan seterusnya. Itu sangatlah tidak adil.

Mengambil contoh,

Anak yang berusia dua tahun sebenarnya sudah mampu untuk menyusun dua-tiga patah perkataan.

"Ibu, nak susu".

Tetapi, jika anak yang sudah berumur 4 tahun tetapi belum mampu menyusun ayat, dari situ ibu sudah mula mengambil tindakan yang sewajarnya.

Apa yang ibu boleh buat?

- Semak buku perkembangan anak-anak 0-6 tahun. Buatlah sedikit nota di dalam buku tersebut.

- Rujuk doktor yang merawat anak di Klinik Kesihatan, Klinik Desa ataupun hospital swasta.

- Mohon doktor membuat surat rujukan kepada doktor pakar perkembangan kanak-kanak di Hospital Besar.

Semestinya, ikutlah juga kemampuan kewangan keluarga.

Ada kemampuan kewangan dan ibu bapa mahukan keputusan yang cepat, kes anak boleh dirujuk ke swasta atau sebaliknya (kerana kes yang dirujuk ke hospital sangat ramai dan mengambil masa yang panjang).

Semoga bermanfaat.

Anak-anak istimewa ini hanya untuk ibu bapa yang istimewa

Hari ini saya menyatuni Aina untuk membuat Occupational Therapy atau perkataan singkatnya, OT.

Saya duduk berteleku di satu sudut sepanjang masa menemani anak syurga saya, Aina Insyirah membuat OT di bilik terapi.

Memang saya akui, air mata saya tumpah juga. Bila saya lihat Aina berbanding anak-anak syurga yang lain, sungguh saya tidak boleh hendak berkata apa-apa. Lidah saya kelu.

Dalam masa beberapa jam menemani anak disitu, pelbagai ragam anak saya lihat.

Ada anak yang memukul-mukul ibunya, memberontak, menjerit, mana anak yang perlu di usung, mana anak yang perlu diurus 24 jam.

Secara zahirnya, saya tengok mereka (ibubapa) cukup sabar melayan karenah anak syurga mereka. Dalam kolam rasa hati, saya tidak mampu untuk mengungkapnya. Ada beban yang adakalanya kita sendiri tidak mampu hendak kongsikan.

Di satu sudut, ada seorang anak yang memukul-mukul ibunya, ayat yang sering ibu ucapkan, "sakit ibu dik, sakit ibu adik pukul, adik sayang ibu kan?". Itulah ayat yang ibu ulang-ulangkan. Tetapi, anak masih memukul ibu tanpa perasaan.

Ada ibu, walaupun riak wajah anak seolah-olah tiada perasaan, ibu tidak berhenti-henti mencium anaknya. Mereka cukup bangga dengan usaha anak mereka yang berjaya menghabiskan sesi terapi pada hari itu.

Memang kadang-kala kesabaran kita seakan-akan dicabar! Bukan kerenah anak sahaja, malah sikap orang sekeliling, dengan tekanan hidup, dengan tekanan kerja, dengan masa yang seperti tidak cukup 24 jam, dan lain-lain yang boleh mencetuskan kesabaran kita diuji.

Sesungguhnya, betullah kata sahabat manis saya

"Anak-anak istimewa ini hanya untuk ibu bapa yang istimewa!"

Sudahnya, saya terduduk menangis teresak-esak di penjuru dinding! Melepaskan rasa sesak dada!

Rasa bersyukur melihat anak kita seadanya.

Peritnya direject

Sekecil-kecil perkara Kak Ida pandang sesuatu itu ada hikmah-Nya.

Pernah di"reject" tadika pada hari yang sama. Kuat atau tidak sahaja hati menerima "rejection" (sebenanya, saya sudah menangis). Pakej teresak-esak lagi. Mujur tidak meraung lagi.

Peritnya direject tidak seperit orang tidak mahu membeli produk dagangan yang saya jual.

Apa yang saya belajar dari ini?
  • Saya belajar, dunia ini "kejam". Mengajar saya supaya menjadi katak yang pekak supaya kita "keras hati" dan tabah.
  • Terima keadaan seadanya. Belajar dulu menerima. Saya cuba penolakan dengan kata-kata positif, "bukan rezeki tadika ini mengajar anak kita".
  • Rupa-rupanya Allah mahu jumpakan saya dengan tadika yang terbaik untuk Aina. Mencari permata dalam lumpur.
  • Allah mahu saya berjumpa dengan circle baru yang cukup positif dengan anak-anak istimewa ini.

Alhamdulillah.

Beri mereka peluang


Kalau dulu, saya dan si dia memang mengelak untuk keluar terutama ke tempat-tempat awam. Sedaya-upaya mencari alasan untuk menjaga hati tuan rumah yang menjemput kami sekeluarga.

Biarlah anak-anak dalam "circle" kami berdua.

Tidak sanggup untuk melihat "pandangan pelik" atau "pandangan jelik" bila anak mula tantrum. Tidak sanggup dengan kata-kata "macam tak pandai jaga anak!"

Beraya pun pada orang "rapat-rapat" yang boleh menerima anak kami seadanya.

Sehinggalah saya tersentap dengan perkataan ini,

"Anak istimewa pun ada hati dan perasan. Mereka juga mahu dilayan seperti anak normal yang lain.  Mengapa tidak diberi peluang sama rata?"

Semenjak itu kami berdua mengubah rentak. Saya dan si dia akan cuba membawa anak-anak bergaul (walaupun pada hakikatnya sangatlah tidak mudah).

Antara tips kami berdua adalah:-

  • Pastikan anak telah mengalas perut sebelum keluar dari rumah.
  • Membawa permainan kegemaran anak.
  • Tidak mengambil masa yang lama jika pergi ke sesuatu tempat terutama rumah orang.

Pernah kami berdua sudah sampai ditempat yang dituju, tetapi membuat keputusan untuk berpatah balik kerana anak tantrum tidak dapat dikawal. Selain niat kami tidak mahu menyusahkan tuan rumah, kami juga perlu menjaga aib anak.

Mereka kelainan, bukan kekurangan.

Mereka kelainan, bukan kekurangan.

Ramai orang salah anggap dengan perumpamaan yang saya berikan. Ya, mereka digelar "cacat". Mereka digelar "orang kurang upaya", tetapi sebenarnya mereka hanya  mempunyai "kelainan" berbanding mereka yang normal.

Percayalah, mereka mempunyai keistimewaan dan limitasi yang kadang-kadang kita sendiri tidak boleh bayangkan jika bakat mereka diasah dengan betul.

Saya teringat ketika saya menunggu nombor giliran naik untuk dipanggil oleh doktor. Ada satu pasangan keluar dari bilik pemeriksaan. Jelas pada riak wajah mereka yang cukup rusuh. Jelas sungguh tekanan yang mereka akan hadapi. 

Kebetulan, mereka duduk di hadapan meja saya sementara menantikan tarikh temujanji mereka yang seterusnya.

Sekadar berbahasa basi menegur mereka dari mana, tiba-tiba "Doktor sudah sahkan anak saya ada ADHD, penyakit apa itu pun saya tak tahu. Habislah masa depan anak saya..." balas si ayah. "Ini pun cikgu yang suruh saya rujuk ke sini. Entahlah..."

"Anak encik berapa tahun?" tanya saya cuba untuk memahami perasaan si ayah. Saya faham kerana ketika ini adalah dalam fasa "penafian".

"Enam tahun... apalah nak jadi... Allah" Ulang si ayah. 

"Encik, anak baru berumur enam tahun. Insya-Allah kita masih ada banyak masa untuk membantu anak." saya cuba memberi kata-kata semangat. 

"Kuatkan semangat encik, anak perlu bantuan kita untuk meneruskan hidup. Di sini ada Pertubuhan GIAT yang membantu anak-anak seperti ini. Kita ibubapa akan cuba sama-sama mencari jalan keluar demi masa depan mereka. Kita tidak keseorangan, percayalah"

Alhamdulillah, si ayah sudah mula tersenyum lega. Sebelum bergerak pulang ke Pontian, berkali-kali si ayah mengucapkan terima kasih pada saya. 

Kadang-kadang, ibubapa hanya perlukan kata-kata semangat. Carilah sokongan untuk menampung kita ketika di dalam saat-saat kita kehilangan arah.

Friday, October 5, 2018

Datanglah...

Seperkara yang selalu saya ingatkan pada ibu, jangan culas membawa anak ke klinik kesihatan walaupun sudah habis mengambil vaksin.

Banyak alasan yang diberi pada ibu bila anak sudah melepasi pemberian vaksin sehingga dua tahun.

Datanglah walaupun nurse sekadar mengambil berat, tinggi dan memberi ubat cacing.

Datanglah walaupun kita perlu beratur panjang mengambil nombor.

Datanglah walaupun kita berjumpa dengan jururawat hanya dengan masa yang singkat. Seolah-olah tidak berbaloi dengan masa yang kita tunggu.

Adakalanya kita sebagai ibu terlepas pandang dengan perkara-perkara yang melibatkan perkembangan anak. Sebagai contoh,

"Anak sudah pandai apa ya ibu?"

"Anak makan apa yang ibu?"

"Anak sudah merangkak ibu?"

Ya, nampak persoalan itu remeh. Tetapi soalan-soalan itulah yang melibatkan perkembangan anak kita. Langkah pencegahan lebih baik dari dirawati.

Bukan autisme, tetapi apa?

Seingat-ingat saya,

Lebih dari 10 doktor mengatakan Aina bukan autisme. (Masa itu saya hanya tahu tentang autisme sahaja).

Dari satu doktor ke satu doktor saya meminta pendapat kedua dan ketiga.

... kalau bukan autisme, apa dia?

Buntu saya dibuatnya. Nak ke sana tidak boleh, nak ke sini tidak boleh.

Akhirnya terjawab dikala usia Aina sudah mencecah 3 tahun bila doktor pakar mengesahkan Aina ada ADHD.

ADHD pun saya sudah terpinga-pinga.

Ini pula kalau ada ibubapa berkongsi anak saya ada sindrom aspeger, sindrom william, sindrom...

Itulah "langkah awal" Kak Ida.

Bila Aina lewat bercakap, itu cuma satu petanda awal.

Tetapi, kita tidak boleh pukul rata masalah anak dengan hanya "lewat bercakap" sahaja.

Ada anak memang hanya mempunyai masalah lewat bercakap sahaja dan ianya tidak melibatkan perkembangan yang lain.

Pengesanan awal

Ramai ibu yang bertanya bagaimana saya boleh detect anak ada kelainan (autisme dan ADHD) seawal dua atau tiga tahun?

Paling asas yang saya boleh kongsikan adalah dengan ibubapa:-

1. Tiada eye contact bila kita (ibubapa) berkomunikasi dengan anak.
2. Tidak mampu menyebut dua atau tiga patah perkataan. Sebagai contoh, "Ibu, nak makan."
3. Kita terpaksa memanggil nama anak lebih dari 4 atau 5 kali. Sehingga kita perlu menyentuh anak. Seolah-olah anak berada didunia lain.
4. Anak lebih suka membawa kita kepada barang yang dia mahukan berbanding memberitahu kita apa yang dia mahukan.
5. Tantrum. Anak marah kerana kita tidak memahami keperluan atau apa yang anak mahukan.

Jika ibu nampak tanda-tanda seperti di atas, Sayaa galakkan ibu terus merujuk anak di Klinik Kesihatan.

Berbincang dengan doktor untuk mendapat assessment seawal yang mungkin dengan doktor perkembangan kanak-kanak di hospital pakar.

Tindakan kita hari ini dapat membantu anak.

Teruskan mencungkil kelebihan anak

Berkesempatan masa,

Saya selalu berbual dengan si dia.

Terutama perkara yang melibatkan anak-anak.

Semenjak kebelakangan ini, obses Aina terhadap bunga memang tidak boleh disangkal. Malah, semakin menjadi-jadi.

Setiap kali balik dari taska, ada satu "port" Aina akan berhenti dan sekuntum bunga mesti dipetik untuk dibawa pulang. Sampai naik "botak" pokok bila hari-hari bunga itu dipetik. Ampun cikgu-cikgu.

Ok, itu cerita bahagian lain.

Dalam kereta,

"Insya Allah bang, satu hari nanti Aina akan jadi pegawai penyelidik. Macam isteri kawan kita tu bang... Mana tahu, kelebihan Aina disitu" Nada cerita seorang ibu mesti bersemangat.

Si dia menyambung,

"Insya Allah yang, abang juga ada perancangan untuk Aina. Mungkin nurseri, mungkin... mmm... banyak juga Aina boleh pergi. yang penting kita tidak berputus asa dengan anak!"

Alhamdulillah

Bila kita dikurniakan anak istimewa, teruslah mencungkil kelebihan yang anak ada. Cari apa yang dia mampu pergi untuk kita sebagai ibubapa membantu anak-anak meneruskan kelangsungan hidup.

Pimpin ke arah apa yang dia minat. Bukan apa yang ibubapa minat.

Saya malu...

"Kak Ida, saya malu ada anak istimewa. Setiap kali keluar berjalan, orang asyik perhatikan anak saya seolah-olah anak saya ada buat silap besar. Macam mana Kak Ida menghadapi situasi itu?"

Terdiam sejenak bila saya mendengar keluhan sang ibu. Ya betul, bila anak-anak kita mula tantrum di tempat awam membuatkan ada mata-mata yang memandang. Belum lagi dengan sindiran tajam membelah hati seolah-olah kita tidak pandai menjaga anak. Betul?

Setiap hari saya menetapkan kesyukuran. Ibarat mantera. "Kak Ida bersyukur ada anak." Ya. ANAK. Sedangkan kita sendiri maklum ada pasangan lain ada masih bergelut untuk mendapatkan anak.

Pertama sekali, kita sebagai ibu bapa kena bangga dengan mereka. Zuriat yang kita kendong 9 bulan 10 hari. Itulah yang Allah amanahkan pada kita.

Belajar terima kekurangan dan kelebihan anak kita. Belajar terima dahulu. Itulah adabnya yang dikongsi oleh sahabat saya yang bergelar kaunselor. Jika kita boleh menerima, kita tahu apa yang kita boleh buat dan lakukan.

Kedua. Kawal diri kita. Kita tidak mampu mengawal apa yang orang lain fikir tentang kita. Tetapi kita mampu mengawal diri kita. Contoh: Setiap kali anak tantrum (bila tidak mampu dikawal), bawa terus anak keluar dari situ. Bukan minta orang lain yang keluar. Apa juga pandangan orang lain, abaikan. CAKAP dengan diri, Allah ada... Allah ada. Bila minda kita positif, apa juga situasi yang sedang melanda, kita boleh kawal. Insya-Allah.

Ketiga. Terima mereka seadanya. Ini memang perlu didik diri sendiri. (Dan saya sendiri masih sentiasa belajar untuk menerima). Allah didik hati kita (ibubapa) melalui mereka

Keempat. Kita tidak sempurna. Dulu saya memang tidak boleh melihat rumah bersepah, perlu tersusun rapi. Kadang-kala saya menangis sendiri melihat keadaan rumah... rasa satu minit kemas, satu saat kemudian... sekarang, buat apa yang mampu. Senaraikan keutamaan. Kita manusia, ada limitation. Jangan cari kesempurnaan, tetapi carilah kebahagiaan.

Kelima. Pergi berjumpa dengan ibubapa yang senasib dengan kita. Bukan untuk mengadu nasib, tetapi sekadar untuk meminjam semangat dan bahu. Tidak perlu memendam perasaan yang membuatkan kita semakin tertekan. Setiap kali berjumpa dengan ibubapa yang senasib dengan kita, ada jalan keluarnya. 


Kad pink

"Abang, kad Aina dah siap. Ida otw ke JKM ya" Perlahan suara saya maklumkan pada si dia. Iyelah, kebetulan pejabat JKM memang di depan blok bangunan di tempat kerja, boleh sahaja berjalan kaki ke sana.

"Tunggu abang boleh? Kita pergi sama-sama."

---

Di JKM tadi, sambil menunggu pegawai mengisi maklumat di dalam komputer, sempat kami berdua berbual-bual,

"Jarang suami menemani isteri ke sini puan jika melibatkan anak-anak. Selalunya memang ibu-ibu sahaja yang datang. Boleh dikira dengan jari nak tengok suami temankan isteri.."

Tidak tahu saya nak impretasikan riak wajah.

Tetapi, memang betul kata pegawai JK tadi.

Nampak remeh kan? Ala, ambil kad aje pun... takkan itu pun nak teman bagai. Leceh!

Tetapi, dalam situasi itu... ibu atau isteri memang sangat-sangat perlukan sokongan sebenarnya. Tidak mahu keseorangan menghadap situasi itu.

Kad pink bukan seperti merenung kad biru ya. Ia mengocak seribu satu perasaan terutama sang ibu.

Nasi black Aina

Komunikasi dengan anak istimewa kadang-kadang mencabar akal dan minda. Banyak menggunakan bahasa "kod" melambangkan kerahsiaan yang tertentu. Hihihi

Sebab itu, bahasa Ammar boleh difahami oleh Aina. Tetapi, saya adakalanya gagal juga untuk translate.

Sebagai contoh,

"Ibu, Aina nak nasi black".

Ok. Nasi black? Apakah?

Nasi berwarna hitam? (Pulut) Teetttt

Ok, kepala terus ligat memikirkan tadi Aina ada tengok cerita kartun apa ya yang melambangkan nasi black? Tekaan berbaki dua sahaja sebelum Aina akan tantrum.

Si dia: Nasi putih simbah kicap tanpa lauk. Itupun kicap kena tunjuk depan Aina. Chiingg

Agagagaga

Itu baru salah satu "kod" rahsia yang berjaya dibongkarkan. Sebenarnya ada banyak lagi yang belum terurai.

Oh anak! Ibu kena telan IGE satu botol ok sambil libas shawl buat kesekian kalinya.


Rezeki anak dalam jaminan Allah

Tahun depan Aina sudah berumur 4 tahun. Speech therapy ada mencadangkan supaya masukkan Aina ke OT untuk mengasah lagi daya tumpuan Aina.

Tetapi, untuk temujanji OT di hospital memang memakan masa. Saya pula tidak boleh mengambil langkah tunggu dan lihat memandangkan masa yang ada semakin terhad.

Lagi dua tahun Aina hendak bersekolah rendah.

Mahu atau tidak, saya perlu mencari tempat swasta untuk Aina supaya sensori Aina tidak ketinggalan jauh berbanding anak-anak normal yang lain..

Alhamdulillah, setelah bertanya-tanya dengan sahabat manis dan berbincang dengan si dia, saya sudah membuat keputusan untuk menghantar Aina ke situ, cuma yuran bulanan yang membuatkan saya terkedu. Bukan boleh tahan, tetapi memanglah boleh dikatakan membuatkan lidah saya kelu!

Terus saya mengenang pada keluarga yang tidak mampu menghantar anak. Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu.

Ya, saya akui saya berkira-kira mampu atau tidak untuk saya menghantar Aina ke kelas tersebut.

Tetapi, pagi ini saya sungguh terduduk dan terkesan dengan tulisan Mak Liza,

"Rezeki anak di dalam jaminan Allah, teruskan hidup dijalan-jalan yang Allah redha."

Allahuakbar, insya-Allah. Ibu dan ayah akan berusaha untuk memberi yang terbaik pada Aina. Kadang-kala Allah tunjukkan 'sesuatu' melalui orang lain.


Sanah Helwa Aina

Entry khas untuk Aina Insyirah Mohammad Syamsul.

Happy Birthday Aina yang ke-6 tahun. Ibu bukan tidak ingat. Cuma bila merenung Aina, banyak perkara sebenarnya ibu belajar.

Maafkan ibu atas kekurangan sebagai seorang ibu.

Anak yang banyak mengajar ibu tentang erti perjuangan hidup.

Anak yang membuka helaian baru dalam mendalami anak-anak istimewa terutama ADHD dan Autisme.

Anak yang membuka mata ibu dan ayah dari sisi pandangan yang lain.

Anak yang memudahkan untuk ibu memperjuangkan Ammar pula.

Aina,

Doa ibu dan ayah mengiringi setiap langkah Aina. Walaupun ibu tahu, setiap langkah itu ada sisi kesukaran untuk Aina.

Happy Birthday Aina. Ya Allah, panjangkan usia anakku, limpahkan dia dengan rezeki dan kesihatan yang baik.

Ya Allah, jagakan anakku.

Ibu dengan rasa rendah diri memohon kawan-kawan ibu supaya sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk Aina. Terima kasih atas doa kalian.

Hearing test untuk Aina

Alhamdulillah,

Hari ini membawa Aina membuat pemeriksaan di bahagian Audiologist di Hospital Sultan Ismail. Aina membuat ujian pendengaran ini bagi memeriksa fungsi pendengaran Aina.

Ini pertama kali juga saya melihat sendiri kaedah dan prosedurnya.

Hilang sudah rasa resah, rasa gundah, rasa yang tak sedap badan bila Aina LULUS dalam semua ujian pendengaran.

Ramai ibu bapa diluar sana tidak faham kenapa anak perlu menjalani hearing test. Hearing test ini perlu dibuat dahulu sebelum lain-lain terapi lain dijalankan.

Insya Allah, tahun depan Aina ke speech therapy pula.

Jadi ibu, sila pantau pembesaran dan perkembangan anak berdasarkan denver chart yang dibekalkan dalam buku rekod Kesihatan Anak 0-6 tahun.


Semoga Allah permudahkan urusan.


Kisah lucu Aina

Satu hari Adilah mahukan air coklat. Berlari-lari Aina ke dapur untuk membantu.

"Ayah, Aina nak air lo... Aina nak buat" jerit Aina dari dapur.

Termangu-mangu Aina di depan pantri. "Ayah, mana yellow? (merujuk bekas berwarna kuning)."

"Dalam bekas yellow green?" kata ayah.

"Haaaa? Yelloowww..."

"Yellow Green..." kata ayah lagi

"Oooooo... yellow nak pergi..."

Terus si ayah bangun dari meja makan. Tergelak besar kami sekeluarga mendengar jawapan Aina.



Struggle is real

Hari ini, Teacher Aina berkongsi semenjak kebelakangan ini (baru dua hari sebenarnya) Aina sangat suka belajar.

Aina juga sangat enjoy (tanpa tekanan) untuk belajar sehingga habis kelas berbanding sebelum ini.

Menurut Teacher Gee juga, tulisan Aina juga semakin cantik dan penguasaan bacaan juga semakin menunjukkan perkembangan yang baik kerana Teacher Gee menggunakan flip chart.

----------

Setiap kali guru Aina berkongsi setiap perkembangan Aina walaupun sekecil-kecil perkara, membuatkan saya rasa cukup sebak dan terharu.

Ya, bagi mereka yang ada anak istimewa, pandai menulis "A" pun satu kejayaan yang perlu dibanggakan.

Struggle is real untuk mereka. Tidak mudah untuk mereka.

Mereka (anak istimewa) berusaha gigih untuk bersaing dengan diri sendiri sebenarnya. Bukan dengan budak yang normal sebaya dengan Aina.

Good job Aina....

Good job!

Asbab guru yang tidak pernah berputus asa dengan Aina.

Terima kasih teacher.

Ibu dan ayah dimanipulasi?

Dulu saya pun ikutkan rentak anak juga. Apa yang anak mahu, saya turutkan.

(Sebenarnya, malas hendak mendengar anak menangis. Sudahlah badan dan otak penat, balik dari kerja kena mendengar anak menangis pula. Bukan seminit dua kalau Aina menangis. Berjam-jam. Ini sebelum saya dapat tahu Aina ada ADHD).

Jadi, kami berdua mengikut betul-betul rutin Aina. (Ini diantaranya).

Dahulu,

+ Ambil Aina dari rumah pengasuh.
+ Aina yang akan punch card di guard house.
+ Si dia akan mendukung Aina dari kereta dan letakkan di sofa tiga kerusi kesayangan Aina.
+ Bukakan cerita kegemaran Aina (mengikut permintaan).

Boleh bayangkan?

Ada kalanya Aina tertidur di rumah pengasuh, jadi akan ada rutin yang akan diskip. Sebagai contoh rutin ke dua, Aina punch card di guard house.

Bila Aina tersedar dia tidak buat rutin tersebut, Allahu...

... dan kami akan melalui proses rutin tersebut DARI AWAL semata-mata untuk mengelakkan Aina tantrum teruk.

Rasa?

Sekarang kami berdua sudah faham maksud terapi,

Kalau ada sesuatu perkara yang anak sudah anggap sebagai rutin, SILA TUKAR.

Kalau ke kedai, anak tahu dia akan dapat jajan, hari itu cuba bawa dia ke kedai tanpa jajan.

... dan alhamdulillah, lama-kelamaan Aina terpaksa mengalah. (memang ketika ini ibu bapa perlu bersabar).

Aina juga sudah boleh terima hakikat, "ibu dan ayah tidak boleh "dimanipulasi" lagi."

Bila seorang tegas, ibu atau ayah mesti bertegas juga.

Dua-dua pihak mengambil peranan.

Aina sudah boleh membuat pilihan

Alhamdulillah, Aina sekarang sudah boleh memberi pilihan jika melibatkan dirinya.

"Aina, bam!" Selalunya Aina akan patuh. Ambil selimut dan terus baring. Jari akan terus masuk ke dalam mulut.

Tetapi sekarang, Aina sudah boleh menjawab dengan baik.

"Aina nak duduk..." Bahasa yang Aina gunakan memang skema dan penuh. Jadi kami lebih memahami apa yang Aina mahukan. 

.... dari dulu, sepatah perkataan pun kami tidak faham. Bahasa yang digunakan seperti ikan dalam air. Blurpp... blurrpppppp....

Info tambahan: dalam peringkat usia anak yang normal, anak sebenarnya sudah mampu menuturkan 5-6 patah perkataan. 

Alhamdulillah, good job Aina. Choose to be good! 

Thursday, October 4, 2018

Kisah lembu...

Anak-anak istimewa ada kalanya obses tentang sesuatu. Disini saya kongsikan satu kisah bagaimana kita sebagai ibu bapa boleh membantu anak-anak istimewa mencari jalan keluar demi kelangsungan hidup.

... kerana saya tahu, kita hidup bukan menongkat langit. Betul kan? Bila kita mempunyai anak istimewa, jika diizinkan oleh Allah, biarlah kita yang pergi dahulu.

Kerana kita takut, hidup anak kita akan menyusahkan orang lain pula. (Indeed)

Berbalik kisah lembu, ada seorang anak dari kecil suka melukis bermotifkan haiwan lembu.

Lembu sahaja. Apa-apa bentuk hasil lukisan yang keluar mesti lembu atau mirip kepada lembu.

Sampaikan kawan-kawan sekolah akan mengejek dia lembu, "bodoh macam lembu..."

Suatu hari, dia bertanya satu soalan pada ibunya...
"Adakah dia bodoh seperti lembu ibu?"

Boleh bayangkan betapa pedihnya, hancurnya sekeping hati seorang ibu bila seorang anak bertanyakan soalan seperti itu? Adakah kerana anak beliau istimewa, harus dilabel sebegitu?

Satu hari, si ibu ternampak iklan tentang "kursus penternakan lembu."

Ibu terus bertanyakan pada anak, "Mahu ke anak dia belajar tentang lembu?"

Anaknya terus bersetuju dengan pendapat ibu. Mungkin kerana minat anak yang cukup mendalam terhadap lembu tidak membuatkan si anak berfikir panjang.

Jadi, ibunya terus membuat keputusan untuk memberhentikan anaknya bersekolah aliran perdana kepada bidang kemahiran dengan mengambil jurusan penternakan lembu.

Alhamdulillah,

Sekarang.... beliau menjadi seorang penternak lembu yang sangat berjaya.

Lebih kaya daripada kawan-kawan yang sering mengejek dia dulu.

Jadi kepada ibu-ibu yang ada anak istimewa, kata Puan Jiett semalam, cungkil dan tengoklah bakat atau kelebihan apa yang ada pada anak.

Serlahkan potensi anak. Sokonglah dan dokonglah mereka. Kalau anak minat memasak, hantarlah ke kelas masakan. Gurukan anak dengan insan hebat. Minat rekaan fesyen, hantarkan mereka ke kelas jahitan.

Atau apa-apa kemahiran yang mereka suka.

Insya Allah mereka akan lebih hebat dengan cara mereka sendiri kerana daya pemikiran mereka tidak sama dengan yang normal.

Hanya satu

Ibubapa mana yang tidak mahukan anak yang sempurna.

Setiap kelahiran, ibu bapa mesti membayangkan anak yang bakal dilahirkan comel, bijak, cantik, hensem, gebus, gebas, mata hijau...

Tetapi,

Bila anak dilahirkan...

Ia tidak seperti yang dibayangkan.

Cacat, bibir sumbing, kulit gelap, mata hitam...

Ya Allah,

Teringat bait-bait kata Kak Jiett ketika saya menyatuni satu program anjuran Persatuan Tadika Negeri Johor yang menyentuh topik berkaitan anak istimewa.

Berjuta-juta sperma yang dilepaskan, hanya SATU sahaja yang berjaya menembusi ovum untuk disenyawakan.


Hanya SATU.

Bila sebut tentang SATU, itulah yang PALING terbaik yang Allah kurniakan pada seorang ibu dan ayah.

Terbaik untuk kita yang Allah sembunyikan hikmah pelangi.

Bukan untuk orang lain.

Untuk lihat betapa redhanya kita.

Untuk lihat betapa syukurnya kita.

Untuk lihat betapa amanahnya kita menjaga amanah Allah pada kita.

Jadi ibu-ibu, banggalah dengan anak yang dikurniakan oleh Allah pada kita. Percayalah, setiap anak itu ada kelebihan dan rezeki yang Allah telah beri dan susun untuk kita sebagai ibubapa "menumpang" rezeki anak.

Terapi pasir

Ada pelbagai jenis terapi yang dibuat untuk anak-anak istimewa. Sejujurnya, di Johor Bahru agak terhad sumber yang ada berbanding di Kuala Lumpur yang mempunyai Permata Kurnia.

Disebabkan itu, saya sebagai ibu tidak mahu melepaskan apa-apa program yang melibatkan perkembangan anak-anak.

Pada entry kali ini, saya cuba kongsikan beberapa jenis terapi.

Salah satunya ialah terapi pasir.

Terapi pasir adalah satu bentuk pengalaman (experiental) kepada anak-anak (malah orang dewasa juga) dengan menggunakan pasir.

Terapi pasir ini memberi peluang kepada individu untuk "meluahkan" perasaan atau emosi.

Banyak aktiviti yang boleh dibuat dengan terapi pasir sama ada dalam bentuk permainan atau bukan permainan.

Kali ini saya memilih kawasan pantai untuk bermain dengan pasir.

Lebih mudah diurus. Hihi


Sebenarnya, tidak semestinya di kawasan pantai anak-anak boleh bermain pasir tetapi terapi ini boleh juga dilakukan dengan menggunakan bekas atau dulang yang di isi dengan pasir.

Malah, ia juga boleh dilakukan di kawasan yang dibina secara khusus untuk anak-anak bermain pasir.

Bagi anak-anak yang bekeperluan khas, aktiviti menggunakan pasir ini adalah sebagai salah satu cara terapi yang digunakan bagi memperbaiki pelbagai masalah-masalah yang dihadapi terutama aspek perkembangan diri iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan aspek perkembangan yang lain.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-kanak di Pusat Psikologi Malaysia, Doktor Mark Pearson, "Kegemaran kanak-kanak bermain pasir dan barang permainan secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan apa yang terbukur dalam hati tanpa paksaan."

Menarik kan.

Ini bermakna, penggunaan terapi menggunakan pasir membuatkan kanak-kanak lebih tenang dan mereka akan berfikir melakukan sesuatu mengikut daya kreativiti mereka.

Selain itu, ia juga dapat mengurangkan perasaan marah atau tidak puas hati yang ada dalam diri mereka.

Ciri-ciri anak ADHD

Kebanyakan ibu tahu tentang austisme tetapi agak kurang faham tentang ADHD. Keliru kerana ciri-ciri autisme dengan ADHD agak sama. 

Hiperaktif
Kanak-kanak ADHD TIDAK semestinya hiperaktif. Mereka yang tidak hiperaktif ialah kanak-kanak ADHD jenis Inattentif. Manakala bagi kanak-kanak ADHD yang hiperaktif, mereka ini sangat cergas seolah-olah mereka mempunyai tenaga dua kali ganda dari yang lain.

Mereka sering berjalan, berlari-lari, memanjat dan tidak boleh duduk diam. Walaupun terlibat dalam aktiviti senyap, mereka akan kelihatan resah sambil menggerakkan tangan dan menggoyangkan kaki.

Ciri hiperaktif kanak-kanak ADHD perempuan tidak semestinya sama seperti kanak-kanak ADHD lelaki. Hiperaktif bagi kanak-kanak ADHD perempuan adalah lebih kepada percakapan. Mereka suka bercakap secara berlebihan atau sukar untuk berhenti bercakap. Mereka pandai bercerita dan pandai meniru gaya atau fesyen atau watak tertentu.

Tumpuan yang singkat
Ini merupakan ciri utama kanak-kanak ADHD. Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang lama semasa guru sedang mengajar dan juga semasa sesiapa sahaja sedang bercakap dengan mereka.

Bagi kanak-kanak ADD atau ADHD jenis inattentif, mereka sering kelihatan tidak fokus, mudah hilang tumpuan dan selalu nampa mereka mengelamun atau berangan. Sama ada hiperaktif ataupun tidak, tumpuan yang dapat diberi oleh kanak-kanak ADHD biasanya sekitar 10 hingga 15 minit sahaja.

Oleh sebab itu, mereka menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan dan menyiapkan sesuatu aktiviti atau tugasan mengikut arahan, peraturan dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Mereka akan banyak melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kerja sekolah. Mereka juga mudah lupa walaupun ia tidak munasabah berdasarkan IQ atau usia mereka. Malah tidak hairan jika mereka sering kehilangan alat tulis setiap kali ke sekolah.

Kurang sabar
Ciri ini amat ketara bagi kanak-kanak ADHD jenis hiperaktif-impulsif dan jenis gabungan. Mereka sering kurang sabar dalam kehidupan seharian.

Mereka tidak suka menunggu dan mahu semuanya cepat sahaja. Mereka juga cepat kecewa dan mudah beremosi atau tantrum. Sikap kurang sabar mereka berkait dengan masalah impulsiviti, iaitu kesukaran untuk berhenti berfikir sebelum bertindak.

Tanda-tanda impulsiviti mereka termasuklah sukar mematuhi peraturan secara konsisten, melakukan perbuatan atau perkara yang tidak munasabah dan mengganggu serta mengusik kanak-kanak lain secara agresif atau secara tiba-tiba.

Mereka selalunya pantas memberi jawapan sebelum soalan yang lengkap diajukan dan cenderung untuk mengganggu perbualan orang lain. Jika tidak memahami masalah mereka, kanak-kanak ini akan dianggap nakal dan biadap. Selain itu, masalah impulsiviti menyebabkan mereka mudah mendapat kemalangan dan kecederaan.